1. GERAKAN PERSAUDARAAN MUSLIMAH

Adalah gerakan yang mengutamakan unsur ukhuwwah Islamiah antara Muslimah bagi membina kesatuan dalam memperjuangkan status wanita dalam Islam. Gerakan SALIMAH menekankan jalinan persaudaraan yang dapat menguatkan dan mengeratkan antara sesama Muslimah demi membangun ummah yang terbaik dan menjadi teladan kepada seluruh masyarakat.

SALIMAH akan menekankan keperluan setiap anggotanya supaya menjaga kesatuan ummah pada setiap ketika. Gerakan menyatukan umat Islam sebagai suatu badan yang saling mengukuh antara satu sama lain akan menjadi ciri utama dalam setiap programnya.

2. GERAKAN PENGGEMBLENGAN MUSLIMAH

Berusaha melibatkan pelbagai lapisan Muslimah untuk turut serta dalam semua kegiatan SALIMAH. Kaum Muslimah akan digembleng dalam satu kekuatan untuk menyuarakan hak dan keadilan serta menterjemahkan semula tuntutan Islam seutuhnya dalam kehidupan seharian.

Kaum Muslimah akan dikerah untuk bersama dalam membanteras segala bentuk kemungkaran dan kepincangan serta menyanggah segala kezaliman dan eksploitasi tidak bermoral.

3. GERAKAN PENGUKUHAN SAHSIAH ISLAMIAH MUSLIMAH

SALIMAH menitikberatkan berciri pembinaan sahsiah Islamiah iaitu melahirkan individu Muslimah yang menghayati seluruh akhlak Islam selengkapnya. Gerak kerja SALIMAH akan dijurus ke arah melahirkan seramai mungkin Muslimah yang mampu menterjemahkan ciri-ciri akhlak karimah dalam setiap tingkah laku seharian.

Melalui keunggulan keperibadian Muslimah diharapkan suatu gabungan jemaah yang melebar kepada masyarakat akan berlaku demi melahirkan sebuah masyarakat Islamiah yang mithali.

4. GERAKAN PEMERKASAAN MUSLIMAH

SALIMAH berhasrat untuk mengetengahkan peranan Muslimah dalam setiap sektor pembangunan yang wajar untuk disertai seperti kesihatan, ekonomi, pengurusan sumber, polisi pembangunan bandar dan desa, kebajikan, kekeluargaan, pendidikan, sosio-budaya, penggubalan undang-undang, keselamatan dan sekuriti makanan serta penjagaan alam sekitar.

GERAK KERJA SALIMAH
  • Mengukuhkan Keberkesanan Pendidikan Muslimah dan Keluarga
  • Mengukuhkan Proses Pembinaan Kepimpinan Muslimah Berketerampilan
  • Membanteras Keruntuhan Akhlak dan Kerosakan Aqidah Umat
  • Mengambil Berat tentang Masalah-masalah Ummah yang Tertindas
  • Mempengaruhi Pembuat Dasar Dan Penggubal Undang-Undang
  • Mengaktifkan Proses Pengilmuan Melalui Gerakan Halaqah Ta'lim SALIMAH
  • Mendekati dan Memulih Muslimah Bermasalah
  • Mengambil Berat tentang Isu-isu Kesihatan Wanita
  • Membantu Anak Yatim Syuhada Palestin